Tuesday, 15 May 2018

Perkhidmatan MyBAS Melaka Pula Diadakan


Setelah melihat keberkesanan perkhidmatan MyBAS yang telah diperkenalkan SPAD di ibu-ibu negeri seperti Seremban, Perlis, Kuantan dan Kuala Terengganu, Menteri Besar Melaka selaku Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Mohd. Sofi Abd. Wahab sedang mempertimbangkan perkhidmatan ini ke pekan-pekan utama untuk memperkasa sistem pengangkutan awam di negeri ini.

Pada masa yang sama, Panorama Melaka Sdn. Bhd. telah pun memberi cadangan mereka untuk mengendalikan perkhidmatan bas henti-henti di Melaka kepada pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Ibu-ibu negeri yang telah pun melaksanakan perkhidmatan MyBas telah didapati mampu memberi perkhidmatan pengangkutan awam terbaik kepada rakyat yang mementingkan aspek keselesaan, keselamatan, ketepatan waktu dan paling utama adalah caj tambang yang masih kekal murah.

Walaupun ia masih di peringkat cadangan dan akan mengambil masa kerana ia memerlukan perbincangan dan kajian rapi bagi mereaslisasikannya, namun ia dijangka akan dapat dilaksanakan selewat-lewatnya awal tahun hadapan. Ini adalah kerana proses transformasi bas ini akan melibatkan beberapa pihak serta banyak proses termasuk pemilihan syarikat bas baharu untuk mengendalikannya.

Bagi Mohd. Sofi, perancangan perkhidmatan MyBAS yang diusahakan SPAD ini, pada jangka masa panjangnya dilihat dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya di kawasan tumpuan pelancong selain kadar tambang yang dikenakan lebih rendah.

Sehingga kini, sebanyak tujuh bas Panorama Melaka telah dibaiki dan menjadikan jumlah keseluruhan bas henti-henti yang masih beroperasi di Melaka adalah sebanyak 24 berbanding 17 sebelum ini.

Pihak kerajaan negeri telah menetapkan yang syarikat Scomi Group yang membekalkan bas berkenaan untuk membaiki bas yang rosak dan semua kos ditanggung mereka berdasarkan kontrak yang ditandatangani melibatkan tempoh 2012 hingga 2019. Sasaran kerajaan negeri Melaka adalah agar memastikan keseluruhan 21 laluan akan beroperasi dan sekaligus menyelesaikan isu kelewatan bas henti-henti di negeri tersebut.

No comments:

Post a Comment